Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat mengalu-alukan ketibaan Presiden Republik Kosovo
05/05/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, hari ini berkenan mengalu-alukan kedatangan Presiden Republik Kosovo, Puan Yang Terutama Dr. Vjosa Osmani-Sadriu, dan First Gentleman, Mr. Prindon Sadriu serta rombongan yang berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari.

Terdahulu sebelum itu, paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berangkat ke Istana Edinburgh bagi mengalu-alukan PYT Presiden Republik Kosovo dan suami dan seterusnya berangkat bersama-sama menuju ke Istana Nurul Iman.

Di sepanjang jalan menuju ke Istana Nurul Iman, PYT Presiden Republik Kosovo dan First Gentleman disambut dengan pengibaran bendera kecil kedua-dua buah negara oleh para penuntut dan guru-guru daripada beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.

Di perkarangan Istana Nurul Iman, Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan PYT Presiden Republik Kosovo dan suami dan seterusnya sama-sama naik ke Pentas Khas untuk menerima Tabik Hormat diiringi dengan Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara, diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Majlis Sambutan Negara diteruskan dengan PYT Presiden Republik Kosovo dan suami diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Penasihat Khas Kebawah DYMM, Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, Timbalan-timbalan Menteri; Pemerintah ABDB, Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); Ketua- ketua Perwakilan Asing di NBD, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Setiausaha-setiausaha Tetap dari JPM dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Kebawah DYMM kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan rasmi Republik Kosovo termasuk the Chief of Staff, Office of the President of the Republic of Kosovo dan penasihat-penasihat daripada Office of the President of the Republic of Kosovo.

Lawatan Negara ini menandakan lawatan sulung Puan Yang Terutama ke NBD.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto